Penyertaan sektor swasta penentu kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 – KSU MOTAC

FOTO BERITA: Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC), sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) ke Kitchen Arena, (Ping Edge Sdn Bhd), Kawasan Perindustrian, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan, Selangor. (Gambar: Kitchen Arena)

.Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot menegaskan bahawa penyertaan aktif sektor swasta merupakan pemacu utama dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara.

Menurut beliau, inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) adalah satu peluang penting bagi negara untuk mempamerkan kekayaan warisan budaya, kepelbagaian kulinari dan gaya hidup unik yang menjadi daya tarikan kepada pelancong antarabangsa.

“Sekiranya sektor awam dan swasta dapat membentuk kerjasama yang erat dan saling melengkapi, saya yakin kita dapat menjadikan VM2026 sebagai kejayaan nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi MOTAC dalam lawatan kerja ke Kitchen Arena (Ping Edge Sdn Bhd) di Kawasan Perindustrian Balakong, baru-baru ini. Lawatan ini bertujuan meneroka potensi sektor makanan dan hospitaliti dalam menyokong matlamat pelancongan negara sempena VM2026.

Dato’ Shaharuddin turut memaklumkan bahawa MOTAC sedang giat menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pemain industri termasuk dalam sektor makanan, hospitaliti, pembuatan, dan runcit sebagai persediaan rapi menjelang 2026.

MOTAC percaya bahawa pembangunan produk pelancongan yang berkualiti dan pengalaman pelancongan yang autentik tidak akan dapat direalisasikan tanpa penglibatan aktif pihak swasta yang menjadi penggerak utama ekonomi pelancongan negara