Duit SARA Julai dah masuk, penerima akui harga beras turun
Kerajaan sudah menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulan Julai kepada jutaan penerima menerusi MyKad, mulai hari ini.
Penerima SARA 2025 akan memperoleh bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Barangan runcit asas daripada kategori produk yang diluluskan boleh dibeli di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad.
Mereka yang menerima STR 2025 layak SARA 2025 berjumlah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan iaitu antara Januari hingga Disember tahun ini.
Sementara itu, kadar tambahan kepada semua penerima STR 2025 kategori Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM100 / RM50 setiap bulan bagi tempoh sembilan bulan (April 2025 – Disember 2025).
Walau bagaimanapun, amaun kelayakan SARA 2025 adalah tertakluk kepada fasa STR 2025 diluluskan.
Jika permohonan STR diluluskan mulai semakan Fasa 2 / Fasa 3 / Fasa 4, bayaran SARA yang akan diterima adalah mulai bulan permohonan STR berkenaan diluluskan.
Dalam hal berkaitan, seorang penerima SARA yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul Rahim, 40, berkongsikan pengalaman membeli barangan menggunakan sumbangan kerajaan itu.
“Minggu lepas, saya tebus beras guna SARA-MyKasih, harga beras import ada yang turun.
“Sampai ada harga RM29.90 sekampit untuk 10 kg. Saya siap tebus dua kampit lagi.
“Beras tempatan pula ada 10 kg berharga RM26.90,” katanya yang membeli di sebuah pasaraya di Semenyih, Selangor.
Untuk rekod, SARA merupakan program bantuan bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Program sumbangan itu adalah untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Setakat 1 Jun lalu, lebih 4.8 juta iaitu 89 peratus daripada keseluruhan 5.4 juta penerima SARA telah memanfaatkan MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar.
BACA JUGA Sekumpulan ‘pemuda’ pegang plakad dikecam, padahal gambar AI