Prestasi ekonomi negara semakin baik, kempen ‘Turun Anwar’ tindakan terdesak
OLEH FAIZ FADZIL
Data menunjukkan bahawa inflasi terendah dalam 51 bulan pada kadar 1.2% untuk bulan Mei 2025. Kadar pengangguran pula menurun ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun iaitu 3% pada bulan April 2025.
Di samping itu, jumlah pelaburan diluluskan untuk suku pertama telah melonjak mencecah RM90 bilion, di mana lebih RM60 bilion adalah daripada pelabur asing.
Malaysia juga adalah satu-satunya negara yang melonjak 11 tangga dalam World Competitiveness Ranking 2025 dan mencapai kedudukan ke-23, iaitu prestasi terbaik sejak tahun 2020.
Data-data Ini hanyalah sebahagian daripada prestasi baik kerajaan Madani walaupun makroekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.
Pada masa yang sama, perkembangan rundingan Malaysia-Amerika Syarikat dalam isu tarif perdagangan adalah sangat positif dan dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Tatkala blok pembangkang (Perikatan Nasional) masih terkapai-kapai mencari haluan dan agenda SG4 ternyata gagal, Kerajaan Madani bekerja keras memacu pertumbuhan di semua negeri, termasuk 4 negeri bawah pimpinan PN dan tidak meminggirkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dalam aspek pelaburan dan pembangunan.
Walaupun keadaan ekonomi dunia akan lebih mencabar ekoran konflik di Timur Tengah, perang perdagangan dan ekonomi China yang masih lemah, Bank Dunia menjangkakan ekonomi global akan bertumbuh pada kadar paling perlahan sejak 2008, iaitu tahun berlakunya krisis Great Recession.
Malaysia, seperti negara-negara lain juga boleh terkesan oleh kelemahan ekonomi dunia dan serantau.
Namun, pakar-pakar ekonomi masih menganggarkan pertumbuhan KDNK sekitar 4% untuk tahun 2025 dan ini membuktikan ekonomi negara masih kukuh selaras dengan perkembangan aktiviti perniagaan tempatan.
Oleh itu, kempen ‘Turun Anwar’ yang digerakkan pembangkang satu tindakan terdesak untuk mengganggu pembangunan ekonomi yang baik dan mampan yang sedang diusahakan Anwar Ibrahim.
Dengan prestasi baik kerajaan Madani menguruskan ekonomi negara dan keperluan pemulihan ekonomi rakyat hari ini, rakyat seharusnya bersatu menyokong usaha Anwar Ibrahim.
Kestabilan yang wujud untuk tempoh 3 tahun ini yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi negara yang baik ini perlu dikekalkan.