Himpunan Turun Anwar: Pas mahu tunjuk pandai urus ekonomi tapi negeri sendiri pun gagal
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar membidas tindakan Pas yang cuba ‘tunjuk pandai’ dalam hal ekonomi negara sedangkan pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai mereka pun masih dibelenggu pelbagai masalah asas.
Katanya, Pas sendiri tiada sebarang pelan ekonomi yang realistik untuk rakyat tetapi mahu mempertikaikan dasar ekonomi kerajaan termasuk penyasaran subsidi dan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Di negeri yang mereka kuasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bekalan air terus dalam krisis, dan peluang pekerjaan terhad.
“Pengurusan dan Pembanggunan negeri pun sebahagian di bantu oleh Kerajaan Persekutuan. Tapi mereka mahu tunjuk pandai dalam hal ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, penganjuran himpunan ‘Turun Anwar’ ini tidak menggambarkan suara rakyat sebenar, sebaliknya penggembelingan ahli parti yang taksub kepada pemimpin.
Beliau menyifatkan ia sebagai strategi politik untuk gugat kestabilan negara dan hancurkan segala usaha pemulihan ekonomi yang sedang berjalan dengan membakar emosi dan sentimen ahli dan penyokong tegar PN-Pas.
“Ketika pelabur asing kembali yakin, ketika inflasi terkawal, ketika negara sedang bangkit mereka mahu bawa Malaysia ke kancah ketidakstabilan semula.
Menurut beliau, langkah kerajaan dalam menstruktur semula subsidi dan cukai adalah untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada terus dibebani ketirisan dan pemborosan yang diwarisi sejak dahulu.
Justeru, sudah tiba masa rakyat menolak politik jalanan yang tidak membawa sebarang solusi, sebaliknya hanya menabur persepsi dan emosi tanpa fakta.
“Kita tidak boleh terus hidup dengan subsidi pukal yang turut dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing. Itu bukan keadilan. Itu kebocoran. Maka penyesuaian dilakukan supaya bantuan hanya sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Saya yakin rakyat menolak politik jalanan ini. Rakyat tak nak biarkan negara kita dijadikan bahan eksperimen politik sempit dan emosi tanpa fakta,” katanya.
BACA JUGA Lokman Adam jawab Hishamuddin, kenapalah bebal sangat