KPDN perkasa usaha pendigitalan peruncitan luar bandar menerusi Kembara ReDI Borneo 2025

FOTO BERITA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited dalam memperkasakan sektor peruncitan tempatan menerusi pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Initiative (ReDI) yang menyasarkan peniaga, khususnya di kawasan luar bandar. (Gambar – KPDN)

Seiring usaha ini, KPDN menganjurkan program Kembara ReDI Borneo 2025, sebuah program jelajah selama 10 hari yang bermula pada 26 Jun 2025 di Sematan, Sarawak dan dijadualkan berakhir pada 5 Julai 2025 di Tawau, Sabah.

“Melalui Kembara ReDI Borneo 2025, kita berusaha mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai (cashless society) yang inklusif serta memperkenalkan sistem urus niaga moden yang dapat meningkatkan kecekapan dan daya saing perniagaan di luar bandar,” katanya.

Inisiatif ReDI juga menyediakan manfaat seperti pengurusan kewangan yang lebih efisien, pelbagai pilihan kaedah pembayaran, pengurusan inventori yang lebih sistematik dan peluang meluaskan capaian pasaran secara digital.

Pelaksanaan program ini disokong oleh kerjasama rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia, PayNet, dan penyedia perkhidmatan e-wallet berdaftar seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global.

Sejak dilancarkan pada 27 Ogos 2022 hingga 31 Mei 2025, ReDI telah mencatatkan kejayaan membantu 22,368 peniaga mendaftar dengan platform e-wallet di seluruh negara, melebihi sasaran asal sebanyak 15,000 peniaga menjelang tahun 2025 seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2025 sahaja, sebanyak 3,229 peniaga telah mendaftar di bawah ReDI, termasuk 1,120 di Sabah dan 1,799 di Sarawak.

Lebih membanggakan, dalam tempoh lima hari pertama Kembara ReDI Borneo 2025 berlangsung, seramai 3,708 peniaga baharu dari Sabah dan Sarawak telah mendaftar untuk menggunakan e-wallet dalam perniagaan mereka.

Datuk Armizan menyatakan keyakinan bahawa program seumpama ini akan terus memperluaskan jaringan ekonomi digital di kawasan luar bandar dan meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan komuniti perniagaan kecil serta mikro.

“KPDN akan terus mempergiat usaha membawa transformasi digital ke seluruh pelosok negara agar tiada peniaga yang tercicir daripada arus kemajuan ekonomi digital negara,” ujarnya lagi.

KPDN turut menyasarkan untuk memperluas pelaksanaan program ReDI ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat sebagai kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan di Sabah dan Sarawak.
