Mangsa disangka bekerja di Singapura, rupanya dijual ke Kemboja – MHO

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai anak yang disangka bekerja di Singapura dijual ke Sindiket Perdagang Manusia ke Kemboja di pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. 1hb Julai2025 ( Selasa)

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 (Selasa) – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mendedahkan satu lagi kes melibatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas disangka bekerja di Singapura, namun sebenarnya dijual ke Kemboja.

Sidang media diadakan susulan pendedahan seorang ibu yang memohon anak perempuannya berusia 21 tahun dibawa pulang segera setelah dikurung dan dipaksa bekerja di Poipet, Kemboja sejak Disember tahun lalu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibu mangsa, gadis itu dipercayai menjadi mangsa sindiket selepas diperdaya oleh seorang rakan dengan tawaran kerja sebagai kerani di Singapura.

“Sebaik tiba di Singapura, mangsa dibawa pula ke Bangkok kononnya untuk bercuti sebelum dimaklumkan akan bekerja di Poipet sebagai penjaga sistem. Namun, selepas itu dia terus dikurung dan dipaksa bekerja tanpa kerelaan serta tidak dibayar gaji,” katanya

“Kami percaya mangsa adalah korban sindiket pemerdagangan manusia berdasarkan komunikasi konsisten antara mangsa dan ibunya yang menunjukkan mangsa berada dalam keadaan tertekan dan tidak bebas,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kes-kes seperti ini semakin membimbangkan memandangkan masih ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, yang mudah terpedaya dengan tawaran kerja palsu di luar negara.

“Ramai tidak sedar taktik sindiket ini semakin licik dan terancang. Mereka menyasarkan anak muda melalui tawaran kerja lumayan, tetapi akhirnya dijual untuk dieksploitasi.

“Kita menyeru semua pihak untuk lebih berhati-hati dan segera membuat laporan jika ada ahli keluarga yang hilang atau berada dalam situasi mencurigakan di luar negara,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ain berkata, anak sulungnya berusia 21 tahun dari Johor Bahru, Johor, pada awalnya dimaklumkan oleh seorang rakan tentang peluang pekerjaan sebagai kerani di Singapura. Anak perempuannya yang memiliki Diploma Sains Pengurusan Pejabat itu bersetuju dan berangkat ke negara tersebut.

Namun, Ain berkata anaknya kemudian dibawa ke Bangkok, Thailand atas alasan untuk ‘berjalan-jalan’ sebelum mula bekerja. Tanpa diduga, dia kemudiannya dihantar ke Poipet, Kemboja untuk bekerja sebagai penjaga sistem dan rakannya pula menghilangkan diri.

“Anak saya kata dia tidak tahan berada di sana. Setiap kali menyatakan hasrat mahu pulang, dia dikurung, tidak diberi makan dan diugut akan dijual kepada sindiket lain yang lebih kejam. Dia sangat tertekan dan sering menangis, malah pernah menyuarakan hasrat untuk terjun bangunan akibat tekanan,” katanya

.Ain berkata anaknya kini sering menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp, memaklumkan bahawa dia sering dikurung di dalam bilik dan mengalami tekanan mental meskipun tidak didera secara fizikal.

“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Mac lalu. Ketika itu anak saya dimaklumkan akan dibebaskan pada Jun selepas kontrak tamat. Tapi kini mereka memaklumkan kontraknya disambung setahun lagi, menyebabkan anak saya semakin tertekan,” tambah beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes seumpama ini disaran untuk menghubungi pihak MHO atau agensi berkuasa bagi tindakan lanjut