Padah ber’uncle’ sembang tanpa fikir panjang, ini pengajaran buat pemimpin

Oleh AYMAN RASHDAN WONG

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra digantung jawatan. Cuma tidak seperti bapanya (Thaksin) atau mak ciknya (Yingluck), dia tidak digulingkan oleh tentera.

Punca dia digantung jawatan: satu perbualan telefon dengan Hun Sen, mantan Perdana Menteri Cambodia dan juga bapa kepada PM Cambodia sekarang (Hun Manet). Pemimpin real Cambodia lah kiranya.

Paetongtarn menghubungi Hun Sen sebab nak selesaikan ketegangan Thailand-Cambodia pasal isu sempadan pada awal bulan Jun. Isu itu sudah lama tetapi setiap beberapa tahun akan timbul kembali.

Bapa Paetongtarn iaitu Thaksin ialah kawan lama Hun Sen. Dua keluarga memang rapat. Jadi, dalam panggilan telefon itu, Paetongtarn panggil Hun Sen “uncle”.

Ok, normal. Nak guna kerapatan hubungan untuk selesaikan isu secara diplomasi. Cuma dalam perbualan itu dia menggambarkan seolah-olah tentera Thailand yang buat masalah.

Yang Paetongtarn tidak sangka, Hun Sen pergi dedahkan perbualan itu. Akibatnya, rakyat Thailand terus ‘meletup’.

Tidak ada beza

Mereka melihat cara Paetongtarn yang memburukkan tentera negara sendiri depan pemimpin negara lain yang di-uncle-uncle-kan, tidak ada beza dengan jual negara dan hina negara sendiri.

Disebabkan kejadian itu, peratus sokongan Paetongtarn sudah jatuh kepada sembilan peratus.

Tanpa mengira baju kuning, baju merah, liberal, konservatif, tentera, orang awam, majoriti mahu Paetongtarn letak jawatan.

Sekarang cuma gantung, tetapi kalau tidak ada solusi kepada krisis kali ini, maka berakhirlah karier Paetongtarn sebagai Perdana Menteri selama 10 bulan.

Sekali lagi keluarga Shinawatra kena checkmate dalam politik Thailand.

Paetongtarn seolah-olah telah diperdaya oleh Hun Sen.

Cuma, persoalan yang lebih menarik sekarang: Apa yang Hun Sen mahu (kalau dia sengaja bocorkan perbualan itu)?

Keluarga Hun Sen memang rapat dengan keluarga Thaksin (Shinawatra), apa yang buat dia sanggup “tikam belakang” anak saudara sendiri dengan membocorkan perbualan?

Nak naikkan populariti dia di Cambodia? Dia tu memang kawal semua perkara di Cambodia (25 tahun jadi PM), nak popular macam mana lagi?

Nak menangkan Cambodia dalam isu sempadan Thailand-Cambodia?

“Anak saudara” kau tu dah sedia nak jual, mengapa nak gantikan dia dengan orang lain, yang belum tentu lembut dalam isu ini?

Jadi, setakat ini, pakar pun tidak dapat baca apa permainan Hun Sen.

Hun Sen ni bukan calang-calang orang. Dulu, dia dalam rejim Khmer Rogue yang komunis, tetapi berjaya belot dan mendominasi politik Cambodia. Memang realpolitik habis.

Paetongtarn pula terlalu mentah, cuma jual nama bapa saja. Sekarang, tidak sampai setahun jagung, dah nampak gayanya kena turun.

Pengajarannya: Jangan senang-senang panggil orang ‘uncle’. Dan kalau cakap pakai telefon tu, kawal sikit sebab orang boleh rakam.

Walaupun bercakap secara berdepan, kita tidak pasti sama ada individu itu merakam perbualan atau tidak.

Jadi pemimpin, kena jaga pertuturan. Jadilah orang yang ada “gravitas”. Tak mudah keluarkan kata-kata tanpa berfikir panjang.

Kebijaksanaan politik lama ini masih relevan walaupun dalam era kecerdasan buatan (AI) dan data raya kini.

BACA JUGA Biar ‘betik’ Fadhli, SST caj parkir ni sejak 2018 lah