Poster konsert MACFEST 2025 libatkan Menteri Pertanian palsu
Satu poster yang mempromosikan konsert “MACFEST 2025” kononnya melibatkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu adalah palsu.
Pejabat Menteri dalam satu kenyataan ringkas menafikan sebarang penglibatan beliau dalam acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai di MAEPS Serdang, seperti ditularkan dalam poster tersebut.
“Pejabat Menteri menafikan penglibatan dalam program seperti yang ditularkan melalui poster berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Pihak MAEPS melalui syarikat pengurusannya, MARDICorp, turut mengesahkan bahawa poster tersebut adalah palsu dan tiada kaitan dengan sebarang program rasmi di lokasi berkenaan.
“Poster ini adalah palsu. Pihak MAEPS menafikan penglibatan terhadap penyebaran poster berkenaan.
“Segala maklumat rasmi berkaitan acara di MAEPS hanya akan disiarkan melalui saluran media sosial rasmi MAEPS Serdang dan laman web rasmi MARDICorp: www.mardicorp.my,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menyemak sumber maklumat yang sahih sebelum menyebarkan sebarang maklumat berkaitan acara rasmi.
BACA JUGA Biar ‘betik’ Fadhli, SST caj parkir ni sejak 2018 lah