Peluasan SST tidak babit pun keperluan asas rakyat, ini penjelasan menteri

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan skop peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak membabitkan kebanyakan keperluan asas rakyat.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk mengurangkan beban rakyat dengan memilih pelaksanaan SST secara bersasar, bukan menyeluruh.

“Kita memilih segmen yang tepat untuk dikenakan cukai, jadi kesannya lebih minimum dan hasil yang diperoleh pula dimanfaatkan untuk menyokong golongan memerlukan.

“Kita perlu faham, cukai yang dikenakan digunakan semula untuk membantu rakyat. Itulah prinsip kecekapan pentadbiran fiskal,” katanya.

Amir Hamzah berkata demikian menerusi sesi podcast Keluar Sekejap di YouTube yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin serta Shahril Hamdan.

Sebagai contoh, ujarnya, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluas hasil peningkatan pendapatan kerajaan menyaksikan jumlah penerima meningkat daripada 700,000 individu kepada 5.4 juta penerima.

“Setiap bulan mereka menerima antara RM50 hingga RM200 untuk pembelian barangan asas. Ini hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan mempunyai hasil yang mencukupi,” kata Amir Hamzah lagi.

BACA JUGA MP Pas gelar ‘kerajaan SST’ pula selepas kilang naikkan harga ais bongkah