Perkasa kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan bagi tangani penyelewengan dan ketirisan – KPDN

FOTO BERITA: Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan Sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-53 bersama YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Dewan Sri Siantan, Presint 3, Putrajaya. 3hb Julai 2025 Khamis. (Foto: KPDN)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh kerjasama strategik rentas kementerian dan agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan tanggungjawab di bawah 13 Akta yang diletakkan di bawah kawal selia kementerian ini.

Kerjasama erat ini penting bagi memperkasa fungsi penguatkuasaan KPDN dalam memastikan ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif, melindungi kepentingan pengguna, serta membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan bersubsidi.

Usaha ini adalah selaras dengan Anjakan Fokus KPDN 2025 melalui pendekatan K.I.T.A. iaitu, K – Keterangkuman Kerajaan. I – Integrasi Penguatkuasaan. T – Tadbir Urus Cekap. A – Amanah dan Akauntabiliti

Pendekatan ini membuktikan komitmen KPDN terhadap konsep “whole-of-government” dan “whole-of-nation” dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara kolektif dan berkesan.

Sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen rakan strategik, KPDN telah menganjurkan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan bersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53. Majlis ini adalah manifestasi pengiktirafan kepada agensi penguatkuasaan yang telah banyak membantu dalam meningkatkan kecekapan operasi KPDN di lapangan.

Melalui kolaborasi ini, pelaksanaan operasi bersepadu menjadi lebih sistematik dan berfokus. Ia turut memperkukuh perkongsian maklumat risikan, mempercepat proses serahan kes, dan memudahkan siasatan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN.

Sejak tahun 2021 hingga 31 Mei 2025, KPDN telah menerima 2,811 kes serahan daripada agensi penguatkuasaan rakan strategik, termasuk 2021 – 250 kes, 2022 – 615 kes, 2023 – 790 kes, 2024 – 822 kes dan 2025 (hingga 31 Mei) – 335 kes.

Antara agensi yang mencatatkan jumlah tertinggi serahan kes adalah, Pasukan Gerakan Am (PGA) – 1,146 kes, Pasukan Polis Marin (PPM) – 866 kes, Polis Diraja Malaysia (PDRM) – 661 kes dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – 69 kes.

Peningkatan konsisten dalam jumlah serahan kes ini menunjukkan bahawa kerjasama rentas agensi bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan operasi penguatkuasaan, tetapi juga meningkatkan keberkesanan perlindungan hak pengguna secara menyeluruh.

KPDN akan terus menggerakkan inisiatif K.I.T.A. GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan) sebagai pemacu utama bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu, telus dan tangkas, demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi negara.