Raih potensi pelaburan RM8.13 bilion ketika pembangkang gelar kerajaan “saya suka travel”
Potensi pelaburan sebanyak RM8.13 billion berjaya diraih Malaysia hasil lawatan kerja Perdana Menteri ke Itali ketika ahli parlimen pembangkang menggelar kerajaan MADANI sebagai “kerajaan SST” iaitu “saya suka travel“.
Malaysia meraih potensi pelaburan itu dalam beberapa sektor iaitu petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas.
Sebanyak RM425 juta potensi eksport dijana bagi produk oleokimia, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan dan makanan.

Hasil lawatan Perdana Menteri ke Itali yang berakhir hari ini menyaksikan mesyuarat dua hala membabitkan 41 syarikat dari negara Eropah itu.
Daripada jumlah syarikat itu, 23 daripadanya membabitkan syarikat sektor pembuatan, sembilan perkhidmatan, dua perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.
Hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang berterusan membantah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggelar kerajaan MADANI sebagai ‘kerajaan SST’ iaitu “saya suka travel“.
Sindiran Ketua Penerangan Pas berkenaan dipercayai merujuk kepada komitmen Perdana Menteri yang kerap ke luar negara demi menarik pelaburan asing.
BACA JUGA MP Pas gelar ‘kerajaan SST’ pula selepas kilang naikkan harga ais bongkah