Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof jalankan tugas Presiden Mahkamah Rayuan
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan buat sementara waktu sehingga lantikan baharu dibuat.
Pelantikan tersebut dibuat oleh Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang menjalankan tugas Ketua Hakim Negara, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 9 (3) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pelantikan Zabariah adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh oleh Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib.
Zabariah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 21 Mac 2016 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 Dis 2019.
Beliau telah mencapai usia 66 tahun pada 10 April lepas namun beliau telah menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Mac lepas, Zabariah telah dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia merupakan jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia selepas Ketua Hakim Negara.