PM Anwar dapat sambutan rasmi penuh istiadat dari kerajaan Perancis

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada kerajaan Perancis sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.

Ia adalah penghormatan tinggi yang mencerminkan keakraban dan saling menghormati dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Perancis yang sekian lama terjalin.

“Upacara ini turut melambangkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama, serta menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran serta keamanan serantau,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri disambut Menteri Ekonomi, Kewangan serta Kedaulatan Perindustrian dan Digital Perancis, Eric Lombard.

Seterusnya, Anwar memeriksa perbarisan kehormat dalam sambutan di Musée de l’armée invalids selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Kehadiran Anwar di salah satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah itu adalah atas jemputan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Pertemuan dengan Macron di Istana Elysée akan menumpukan agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Mereka juga dijangka membincangkan konflik di Asia Barat, khususnya keganasan rejim Zionis Israel di Gaza.

BACA JUGA Tun M dihujani cemuhan selepas perli Anwar sebagai “Bapa FDI”