RM47 juta lesap, 87 mangsa tuntut keadilan, desak pendakwaan segera – MHO

FOTO BERITA: Serahan Memorandum & Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO mengenai pelaburan ala hutang ke Jabatan Peguam Negara meneruskan pertuduhan terhadap syarikat menawarkan pelaburan di pejabat Peguam Negara Precint 4, Putrajaya. 4hb Julai 2025 (Jumaat)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), sebuah badan bukan kerajaan yang berteraskan perjuangan hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan sejak ditubuhkan pada tahun 2016, hari ini tampil bersama 87 pengadu untuk menuntut keadilan berhubung satu isu serius melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM47,305,198.00.

Para pengadu yang hadir merupakan mangsa kepada satu skim pelaburan ala “hutang” yang dianjurkan oleh sebuah syarikat tempatan. Mangsa-mangsa mendakwa mereka telah diperdaya menyertai skim berkenaan sejak tahun 2020 dan sehingga hari ini masih belum menerima sebarang penyelesaian atau pembelaan sewajarnya daripada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, MHO bersama mangsa-mangsa hadir ke Jabatan Peguam Negara bagi menyerahkan rayuan dan memohon pertimbangan serta budibicara pihak Jabatan Peguam Negara agar proses pendakwaan dapat diteruskan terhadap individu-individu yang terbabit di sebalik syarikat tersebut. Polis telahpun menerima laporan berkaitan kes ini, namun status siasatan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya masih belum membuahkan hasil.

Lebih membimbangkan, mangsa-mangsa memaklumkan bahawa mereka mendapat tahu terdapat beberapa kes terdahulu yang telah pun dibawa ke mahkamah tetapi diklasifikasikan sebagai Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA) kerana pengadu menarik semula laporan polis mereka. Lebih mengecewakan, beberapa laporan lain pula hanya dirujuk kepada laporan asal yang telah diklasifikasikan sebagai DNAA, sekaligus menjejaskan peluang mangsa mendapatkan keadilan.

MHO berpandangan bahawa hal ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan mangsa kerana mereka merasakan seolah-olah tiada jalan keluar yang adil untuk menyelesaikan permasalahan yang sudah berlarutan selama hampir lima tahun ini.

Oleh itu, satu sidang media diadakan hari ini bagi memperjelas kedudukan semasa siasatan serta menyeru Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam membawa dalang-dalang skim ini ke muka pengadilan. MHO bersama mangsa-mangsa memohon agar pendakwaan dapat dimulakan semula, dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang setimpal.

MHO komited untuk terus menjadi suara kepada mangsa-mangsa penindasan dan penipuan. Kami membawa harapan dan amanah mereka agar hak serta keadilan tidak terus dinafikan.

