Malaysia-Perancis sepakat perkukuh kerjasama strategik, desak rejim Israel henti keganasan di Gaza
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerjasama strategik Malaysia dan Perancis terus berkembang merentas sektor berimpak tinggi.
Perdana Menteri berkata, Kerjasama itu melibatkan teknologi aeroangkasa menerusi Airbus, tenaga bersih bersama PETRONAS dan syarikat Perancis, hinggalah pendidikan tinggi, kecerdasan buatan, serta pertukaran pelajar.
“Perbincangan saya bersama Presiden Emmanuel Macron berlangsung dalam suasana yang amat terbuka dan jujur, mencerminkan tradisi keterbukaan, toleransi dan kebijaksanaan yang menjadi tunjang demokrasi Perancis.

“Saya mengangkat semangat ini sebagai asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mendepani pelbagai cabaran global dengan berani dan berprinsip,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha Presiden Macron dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan dunia.

“Saya juga menghargai ketegasan Presiden Macron yang mendesak agar rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera.
“Malaysia kekal konsisten menolak keganasan terhadap orang awam dan segala bentuk pilih kasih,” tegasnya.
Menurut Anwar, tema berkaitan nilai-nilai bersama dan sifat kewarganegaraan yang menyatukan masyarakat yang diutarakannya dalam ucaptama di Sorbonne sebelum ini iaitu konsep ‘Habits of the Heart’ yang diperkenalkan Alexis de Tocqueville turut disentuh.
“Dalam dunia hari ini yang sarat dengan ketidaktentuan, kami sependapat bahawa kerjasama tulen mestilah berlandaskan rasa saling menghormati, kepercayaan dan kejelasan moral untuk melihat satu sama lain bukan sebagai alat kepentingan, tetapi sebagai rakan setara dalam membentuk suatu tertib dunia yang lebih adil,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan yang konstruktif dan komited dalam memperkukuh multilateralisme serta usaha ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi dunia yang lebih aman.
“Terima kasih Presiden Macron atas sambutan yang amat mesra dan komitmen beliau terhadap hubungan erat Malaysia dan Perancis.
“Saya turut mengundang beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia demi meneroka potensi baharu dalam kerjasama dua hala, ASEAN dan peringkat global,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA ‘Pas sendiri tidak yakin letak “ulama” ketuai agensi kerajaan negeri Kelantan’