Ada ADUN Pas didakwa dapat peruntukan tapi diberi semua ke tadika Pasti
Ketua Pemuda Pahang, Kamil Ibrahim mendakwa terdapat ADUN pembangkang di negeri itu yang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, namun memilih untuk menyalurkan sepenuhnya kepada tadika swasta milik Pas.
Menurutnya, walaupun Pas Pahang selama ini sering mengeluh kononnya tidak menerima sebarang bantuan kewangan, kenyataan itu disifatkan tidak benar berdasarkan penemuan yang didedahkan.
“Saya nak dedah hari ini. Pertamanya, ADUN pembangkang di negeri Pahang, kita ada tambahan peruntukan daripada RM30,000 kepada RM60,000.
“Dan tuan-tuan tahu tak ada segelintir ADUN, dia memperuntukkan RM60,000 itu kepada semya tadika Pasti. Dan peruntukan itu tidak diberikan kepada rakyat,” katanya dalam satu perkongsian video.
Kamil menunjukkan bukti ADUN Jengka menyalurkan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada empat tadika Pasti di Maran, Jengka dengan masing-masing menerima RM15,000.
“4 tadika Pasti itu menerima masing-masing RM15,000. Bagaimana rakyat lain pula? Mereka pun tak terima. Saya pelik bila (ada satu podcast pembangkang) cakap peruntukan ini tak diterima orang Pas,” katanya lagi.
Dakwaan itu menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan keutamaan dalam pengagihan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang.
Pun begitu setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada ADUN Jengka atau Pas Pahang berhubung dakwaan tersebut.
April lalu pembangkang Pahang mendakwa peruntukan RM60,000 diberi kerajaan negeri tidak disalurkan terus ke pusat khidmat wakil rakyat, sebaliknya diuruskan oleh Pejabat Daerah.
BACA JUGA SARA ringankan beban ramai isi rumah, penerima bersyukur, pembangkang saja merungut