Bukan biasa-biasa, Ringgit Malaysia tersenarai Top 20 mata wang berpengaruh dunia
Ringgit mencatatkan sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam 20 mata wang paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2025, menurut data yang dikeluarkan oleh SWIFT, statistik urus niaga global.
Meskipun mencatat peratusan pengaruh antarabangsa sebanyak 0.21%, ringgit berkongsi peratusan yang sama dengan mata wang Hungary (forint).
Ia sekali gus menempatkan dirinya dalam senarai eksklusif yang selama ini didominasi oleh kuasa-kuasa besar ekonomi dunia.
Kedudukan ini membuktikan bahawa di sebalik cabaran ekonomi serantau dan global, ringgit terus menunjukkan daya tahan dan keyakinan di peringkat antarabangsa.
Menerusi infografik Seasia.stats, dolar Amerika Syarikat mengetuai senarai mata wang paling berpengaruh dengan penguasaan 49.68%.
Ia disusuli euro (22.24%) dan pound sterling (6.51%).
Namun, kemunculan mata wang dari Asia seperti yen Jepun (4.03%), renminbi China (3.50%), dan dolar Singapura (1.31%) turut mencerminkan kebangkitan rantau ini dalam peta ekonomi dunia.
Statistik ini pernah diterbitkan pada Mei tahun ini, namun ia kembali mendapat perhatian.