Tragedi lemas Sungai Korok: Anak sulung mimpi ayah cakap ‘jangan sedih, kami akan jaga dari jauh’…

Kisah enam sekeluarga yang ditemui mati lemas terperangkap dalam sebuah Proton Iswara selepas tenggelam di Sungai Korok, Alor Setar mendapat perhatian masyarakat.

Dalam kejadian yang menghibakan, satu-satunya anak sulung mangsa menjadi sorotan media kerana ketika kejadian, Puteri Qisya Nur Izzat tidak mengikuti ahli keluarga lain ke rumah saudara dan terselamat dari tragedi itu.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu memberitahu bahawa dia baru sahaja bermimpi bertemu dengan ayahnya.

“Pagi tadi saya mimpi ayah cakap ‘jangan sedih, kami akan jaga kakak dari jauh, ramai akan ambil berat pasal kakak'”, kongsinya menurut Berita Harian.

Dia yang ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), memberitahu terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak akan melupakan apa yang diucapkan bapanya dalam mimpi itu.

Sementara itu ketika ditanya mengapa tidak bersama keluarganya, Puteri Qisya berkata, dia pada mulanya mahu mengikut mereka, tetapi pada malam itu berasa agak berat dan malas.

“Pada mulanya saya nak ikut mereka, tapi rasa berat sangat. Selalunya saya ikut, tapi malam itu agak malas. Mereka benarkan saya tinggal di rumah tok di Jerlun,” katanya yang kini tinggal bersama nenek di Jerlun.

Terdahulu enam sekeluarga dilaporkan hilang padaselepas pulang dari bermalam di rumah saudara mereka di Taman Seri Aman, Jitra.

Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Jerlun disebabkan Mohammad Azim Izat perlu bekerja sebagai pengawal keselamatan pada pagi berkenaan.

BACA JUGA NGO akan adakan himpunan pertahan PMX di Cherok Tokkun 11 Julai ini