Bukan Presiden Pas tapi Mahiaddin dicalonkan ‘poster boy’ PN hadapi PRU16

Bukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dinamakan ‘poster boy’ Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sebaliknya, nama Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin yang disebut bagi tujuan kempen PRU16 walaupun Parlimen ke‑15 tamat secara automatik pada 19 Disember 2027.

Usul yang mahukan Mahiaddin itu dikemukakan tiga bahagian Bersatu di Terengganu pada persidangan bahagian Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, 4 Julai lalu.

Menurut Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata perwakilan Bersatu di lapan bahagian juga membuat ketetapan mengekalkan Mahiaddin sebagai presiden parti, lapor BH.

Mahiaddin Yassin

Razali yang juga EXCO negeri, dilapor berkata, pendirian perwakilan lapan bahagian itu bertepatan dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada November 2024.

Jelasnya, MPT memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Mahiaddin sebelum ini dihujani tempias kritikan orang ramai susulan tindakan menantu pemimpin Bersatu berkenaan melarikan diri daripada membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menantu Mahiaddin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan mulai menjadi sebutan susulan kenyataan media SPRM pada 7 Ogos 2023 yang sedang mengesannya dan peguam, Mansoor Saat.

Kedua-duanya dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

BACA JUGA Trump gelar Netanyahu lelaki terhebat di dunia