Jabatan Peguam Negara jawab isu desakan penubuhan RCI pelantikan hakim

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkaitan pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi itu.

Menerusi kenyataan hari ini, AGC berkata, dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar “konduit” yang menerima syor daripada mana-mana pihak.

“Sebaliknya, mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.

“Jabatan ini dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti.

“Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” katanya.

Selain itu, menjawab dakwaan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan JAC boleh mengawalselia prosedurnya sendiri.

“Apabila terdapat keadaan yang mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota.

“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas.

“Tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim merupakan dakwaan yang serius.

“Walau bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.

“Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah pun dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pra-matang serta bersifat spekulatif semata-mata,” tegas AGC.

Semalam, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

Mengulas dakwaan Rafizi itu, AGC berkata, perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah suatu perkara yang tidak wajar (unwarranted) pada peringkat ini.

Menurut AGC, kes tersebut melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.

“Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan/dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya lagi.

“Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya,” katanya lagi.

Namun begitu, AGC menjelaskan, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya perjalanan kuasa oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.

“Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

BACA JUGA Malaysia kena 25 peratus tarif import AS, beberapa negara lain hingga 40 peratus