Pegawai KPDN didakwa terima rasuah untuk tutup siasatan minyak masak

Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor didakwa menerima rasuah berjumlah RM11,500 untuk menutup siasatan berkait minyak masak.

Sahzul Hisam Samsuri, 51, yang didakwa melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Menurut kertas pertuduhan, wang berjumlah RM3,000 didakwa diterima tertuduh daripada seorang individu sebagai sogokan agar siasatan ke atas kes penghantaran minyak masak terpakai tanpa lesen sah tidak diteruskan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, terdapat dua transaksi melibatkan bayaran masing-masing RM5,000 dan RM3,500 yang dimasukkan ke akaun peribadi tertuduh, dipercayai datang daripada sebuah syarikat dan seorang wanita, berkaitan kes sama..

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Tertuduh diarahkan menyerahkan pasport, melapor diri kepada SPRM setiap bulan, dan dilarang menghubungi mana-mana saksi pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 18 Ogos depan.

BACA JUGA Bukan Presiden Pas tapi Mahiaddin dicalonkan ‘poster boy’ PN hadapi PRU16