Pengguna TikTok diarah bayar RM100,000 fitnah Rosmah Mansor amal ilmu hitam

Seorang pengguna TikTok diperintah membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati memfitnah bekas Perdana Menteri itu mengamalkan ilmu hitam.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas membenarkan permohonan Rosmah terhadap defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, kerana gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

Ketika membaca keputusan, mahkamah berpendapat plaintif telah berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu, dengan jumlah RM100,000 adalah satu penilaian yang adil dan seimbang.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian tersebut,” katanya.

Terdahulu Rosmah memfailkan saman pada 19 September 2023, terhadap defendan yang didakwa memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.

Kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud Rosmah melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Perdana Menteri Malaysia keenam dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum, selain dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura dikenali masyarakat.

BACA JUGA Jabatan Peguam Negara jawab isu desakan penubuhan RCI pelantikan hakim