‘Usah kita terganggu dengan suara sumbang perlekeh usaha tarik pelaburan’
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar mengabaikan suara sinis yang mahu menjatuhkan usaha kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan asing.
Beliau berkata demikian selepas selesai segala urusan rasmi delegasi Malaysia sempena Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.

“Usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini.
“Perjalanan kita masih panjang dan kita akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mengulas lawatan beliau kali ini, Anwar berkata, kunjungan tersebut berjaya mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil.
Malah, jelasnya, dengan negara-negara anggota BRICS yang lain dalam memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua yang menjayakan misi ini termasuk para pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta para petugas media atas dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang berada di sini.
“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera,” kata Perdana Menteri lagi.
Usaha Anwar bertemu pelbagai pemimpin dunia dilihat merekodkan pencapaian signifikan apabila menarik lebih banyak FDI ke Malaysia walaupun mendapat reaksi sinis Tun Dr Mahathir yang menggelarkan Perdana Menteri sebagai ‘Bapa FDI’.
Sejak 1 Julai lalu, lawatan Anwar dan delegasi ke Itali dan Perancis telah berjaya menjana potensi pelaburan asing sebanyak kira-kira RM 12.13 bilion.
Sementara itu, lawatan PMX ke Brazil dilaporkan menjana potensi eksport mencecah RM6.8 bilion.
BACA JUGA Jabatan Peguam Negara jawab isu desakan penubuhan RCI pelantikan hakim