Lelong arak di sekolah, AMANAH gesa KPM keluarkan garis panduan lebih ketat
Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap insiden pergaduhan yang berlaku dalam kawasan sekolah, melibatkan satu majlis lelongan arak di sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, penganjuran aktiviti yang melibatkan alkohol dalam premis institusi Pendidikan apatah lagi sehingga mencetuskan kekecohan adalah tidak wajar.
Menurutnya, penganjuran aktiviti itu walaupun merupakan sebahagian daripada usaha mengumpul dana tidak mencerminkan peranan sebenar institusi pendidikan sebagai tempat yang membina peradaban dan nilai murni.

“Sehubungan itu, kami menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera mengeluarkan garis panduan yang lebih ketat dan jelas berkaitan jenis aktiviti yang boleh dianjurkan dalam kawasan sekolah, tanpa mengira latar belakang agama atau jenis sekolah.
“Garis panduan ini perlu menitikberatkan aspek keselamatan, nilai moral serta sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya menurut satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video insiden pergaduhan dalam program di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian di Johor dengan sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas.
Aksi mereka yang membawa kepada penahanan 18 lelaki berusia 17 hingga 48 tahun itu dikatakan gara-gara tidak berpuas hati dengan harga arak yang ditawarkan dalam acara lelongan yang ditawarkan penganjur.
Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan berkaitan merusuh.
Mengulas lanjut, Azli berkata, AMANAH bimbang insiden seperti itu akan berulang jika tidak ditangani secara tegas dan bijaksana.
“Ia juga boleh menjadi tontonan dan contoh yang tidak baik kepada para pelajar serta masyarakat sekeliling, sekali gus menjejaskan imej institusi pendidikan secara keseluruhan,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, AMANAH sentiasa berpegang teguh kepada pendirian bahawa institusi pendidikan adalah wadah suci yang mesti dipelihara daripada sebarang unsur yang boleh mencemar peranannya dalam membina insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
“Kami menyeru semua pihak agar terus memastikan sekolah-sekolah kekal sebagai pusat untuk menimba ilmu, memupuk akhlak mulia serta membentuk budaya sihat, demi generasi masa depan yang sejahtera dan bermaruah,” tegas Azli lagi.
BACA JUGA OPR diturunkan kepada 2.75 peratus, kali pertama sejak Mei 2023, ini penjelasan BNM