Buat hantaran jelik melampau, ahli Bersatu bayar kompaun RM10,000 kepada SKMM

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abd Halim telah menyelesaikan bayaran kompaun sebanyak RM10,000 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia selepas dia dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di TikTok.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan bahawa kandungan yang dimuat naik pada 31 Mac lalu itu menyentuh sentimen kaum dan agama, sekali gus melanggar undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“SKMM telah menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq.

“Tindakan ini diambil hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], serta setelah memperoleh izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara,” menurut kenyataan tersebut.

SKMM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital untuk menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem, atau yang menyentuh institusi negara.

Pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi.

Tambah suruhanjaya itu lagi, mereka akan terus komited memastikan keselamatan ruang siber negara demi perpaduan masyarakat.

“SKMM kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

BACA JUGA Pelik dulu Mahiaddin hapus GST ganti SST, sekarang u-turn tak sokong SST