Empat keluarga rayu bantuan selamatkan anak jadi mangsa sindiket di Laos dan Cambodia

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai rayuan empat keluarga mangsa anak mereka ditahan polis di Golden Triangle Special Ekonomic Zone Laos dan Cambodia disyaki jadi tebusan sindiket perdagang manusia di pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. 9hb Julai 2025 (Rabu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa campur tangan segera kerajaan Malaysia berhubung kes seorang rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi tebusan sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (Golden Triangle Special Economic Zone), yang terletak di sempadan Laos dan Cambodia.

Sidang media yang berlangsung di pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak itu diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Dato’ Hishamuddin Hashim, yang turut disertai ahli keluarga mangsa. Dalam kenyataannya, Dato’ Hishamuddin memaklumkan bahawa mangsa merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang pada mulanya dipercayai menerima tawaran kerja di luar negara, namun kini ditahan oleh pihak berkuasa tempatan atas dakwaan tidak sah atau dipercayai telah diperdagangkan oleh sindiket.

“Kami menerima maklumat bahawa mangsa ditahan oleh polis tempatan di kawasan Golden Triangle SEZ dan besar kemungkinan beliau merupakan salah seorang daripada ramai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di rantau itu,” kata beliau.

MHO menyatakan kebimbangan terhadap keadaan fizikal dan mental mangsa, memandangkan laporan yang diterima menyebutkan mereka dijadikan buruh paksa dalam operasi scammer atau penipuan dalam talian, dan ada yang dipukul serta dikurung.

Pihak keluarga yang hadir kelihatan sebak dan berharap kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri serta agensi berkaitan dapat bertindak segera untuk menyelamatkan dan membawa pulang anak mereka ke tanah air.

“Kami mohon bantuan kerajaan Malaysia. Kami tidak tahu keadaan sebenar anak kami di sana. Sudah berbulan-bulan kami tidak dapat bercakap dengannya,” kata ibu mangsa sambil menangis.

Dato’ Hishamuddin turut menggesa agar satu Jawatankuasa Khas antara agensi ditubuhkan bagi menyelaraskan usaha menyelamat, dan meminta kerajaan memperkukuh kerjasama diplomatik dengan pihak berkuasa Laos dan Cambodia.

Sebagai langkah awal, MHO memaklumkan akan menghantar surat rasmi kepada Wisma Putra serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk meminta campur tangan dan perhatian segera terhadap kes ini.
