Malaysia tuan rumah tiga Forum Bandar ASEAN, perkukuh agenda mampan serantau

FOTO BERITA: Majlis Pra-Pelancaran ASUF, AGMF & MGMAC dan Majlis Pelancaran Bas Prasarana dan Gokl Sebagai Rakan Pengangkutan Rasmi bersama YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di SDG Centre Kuala Lumpur, Perpustakaan Kuala Lumpur, Jalan Raja, Kuala Lumpur. 8hb Julai 2025 (Selasa)

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming hari ini mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada tiga program utama ASEAN berkenaan pembangunan bandar mampan yang akan berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos 2025 di Kuala Lumpur iaitu Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) dan Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC)

Program ini dianjurkan oleh KPKT bersama Sekretariat ASEAN, UN-Habitat, UCLG ASPAC, DBKL dan URBANICE Malaysia, bagi mengangkat tema “Bandar dan Wilayah Masa Depan ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia komited menerajui perbincangan serantau berkaitan masa depan bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari.

“Dengan peranan Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab serantau dan antarabangsa dalam memacu pembangunan bandar mampan,” ujar YB Nga Kor Ming dalam ucapan beliau semasa majlis pra-pelancaran di Pusat SDG Kuala Lumpur

Beliau turut menekankan bahawa pengiktirafan ini adalah lambang keyakinan komuniti antarabangsa terhadap visi dan pendekatan Malaysia dalam melaksanakan agenda pembangunan bandar inklusif, rakyat-centric dan mampan.

Tema Program: “Bandar dan Wilayah Masa Depan ASEAN” Keterangkuman dan Kemampanan”. STema ini mencerminkan hala tuju strategik jangka panjang dalam merancang bandar-bandar di rantau ASEAN yang lebih lestari dan sejahtera. Ia juga menyokong pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045, Komuniti Sosio-Budaya ASEAN serta Strategi Pembandaran Mampan ASEAN yang menekankan iaitu, keterlibatan menyeluruh masyarakat, interaksi rentas komuniti dan budaya, keharmonian bersama alam sekitar dan penglibatan dan sokongan komuniti serantau

Program selama lima hari ini dijangka menghimpunkan, iaitu 10 Gabenor dan Datuk Bandar ibu kota ASEAN, 156 pihak berkuasa tempatan, lebih 8,000 peserta dan 500 wakil bandar seluruh ASEAN. Setakat ini, lebih 6,000 peserta telah mendaftar menerusi portal rasmi, menunjukkan sambutan hangat dan keyakinan terhadap Malaysia sebagai tuan rumah.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kita memastikan keterlibatan menyeluruh – daripada penjawat awam, pemimpin bandar, wanita, belia, kanak-kanak, ahli akademik, profesional, hingga ke sektor swasta. Setiap suara membawa makna,” tambah YB Nga Kor Ming.

Program ini dianjurkan bersama oleh URBANICE Malaysia, Pusat Kecemerlangan di bawah KPKT, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku Bandar Tuan Rumah, Sekretariat ASEAN, serta organisasi serantau dan antarabangsa seperti:, United Cities and Local Governments Asia Pacific (UCLG ASPAC), UN-Habitat dan penaja dan penyedia rasmi.

YB Nga turut menghargai sokongan penaja, DBKL sebagai Bandar Tuan Rumah serta Prasarana dan GoKL atas pengenalan bas “Duta Bergerak” yang mempromosikan acara ini kepada umum.

Beliau menyifatkan penganjuran ini sebagai peluang keemasan untuk Malaysia memperkukuh peranannya dalam pembangunan bandar serantau dan menyeru semua pihak untuk berganding bahu menjayakan ASUF, AGMF dan MGMAC 2025 sebagai penanda aras baharu ASEAN dalam pembandaran mampan.

KPKT menyeru semua pihak berkepentingan dan warga bandar ASEAN untuk bersama-sama menjayakan program ini demi masa depan pembangunan bandar yang lebih lestari, inklusif dan sejahtera