KBS Masters Games 2025 tawar 19 acara sukan untuk golongan 40 tahun ke atas

FOTO BERITA: Majlis Pra Perasmian Hari Sukan Negara 2025 dan Pra Peluncuran KBS Masters Games 2025 bersama YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan di Podium, Menara KBS, Presint 4, Putrajaya. 9hb Julai 2025 (Rabu)

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, hari ini menyempurnakan Majlis Praperasmian Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) dan Prapeluncuran KBS Masters Games 2025, sebagai simbolik permulaan kepada sambutan sukan kebangsaan terbesar negara yang bakal berlangsung Oktober ini.

Hari Sukan Negara 2025 akan diraikan secara besar-besaran selama tiga hari berturut-turut, bermula 10 hingga 12 Oktober 2025, dengan Majlis Perasmian Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober 2025 (Sabtu) bertempat di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak. Majlis penuh gilang-gemilang itu akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Mengangkat tema “Malaysia Aktif”, sambutan HSN2025 menyasarkan penyertaan lebih 5.2 juta rakyat Malaysia melalui pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang akan dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerangka Malaysia MADANI, khususnya nilai Kesejahteraan, Keyakinan dan Kemampanan, serta menyokong hala tuju Visi Sukan Negara 2030 ke arah menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat.

Dalam majlis sama, turut dilancarkan secara rasmi ialah KBS Masters Games 2025, sebuah acara sukan berskala besar yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia berusia 40 hingga 60 tahun untuk terus bergiat aktif dalam sukan secara sukarela dan kompetitif.

KBS Masters Games 2025 akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025, melibatkan lebih 5,000 peserta dalam 19 acara sukan, termasuk akuatik, badminton, olahraga master, pickleball dan esport.

Dalam ucapannya, YB Adam Adli menekankan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak untuk menjayakan penganjuran kedua-dua acara ini.

“Kita mahu seluruh rakyat, tanpa mengira umur atau latar belakang, merasai manfaat dan semangat kesukanan. KBS menyeru sektor awam, swasta, NGO dan komuniti untuk berganding bahu menjayakan HSN2025 dan KBS Masters Games demi Malaysia yang lebih aktif dan sihat,” ujarnya.

Kementerian Belia dan Sukan menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta untuk turut serta menjayakan HSN2025 dan KBS Masters Games 2025 dalam semangat kesatuan dan kecergasan nasional.