Lain macam cadangan MB Kedah kurangkan risiko nahas di Sungai Korok
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan penanaman buluh sebagai penahan bagi mengurangkan risiko kemalangan susulan nahas yang meragut nyawa enam sekeluarga baru-baru ini.
Pemimpin Pas berkenaan berkata, kaedah itu dilihat lebih menjimatkan kos dan mesra alam terutama di kawasan yang masih memiliki rizab tanah berdekatan terusan.
“Saya sudah melawat keluarga mangsa. Terusan itu di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan jalan tepinya lurus. Ada dicadangkan supaya diletak pagar penghadang.
“Tapi saya cadangkan juga supaya tanam buluh sebagai menjadi penahan dan landskap.
“Saya akan cadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara ini,” katanya, dipetik Harian Metro.

Untuk rekod, Sungai Korok, yang menjadi lokasi enam sekeluarga ditemukan lemas dalam Proton Iswara, pada 7 Julai lalu telah merekodkan lapan kematian dalam tempoh lima tahun.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, dilapor berkata selain enam beranak terbabit, dua lagi maut dalam Sungai Korok merupakan kanak-kanak yang berlaku pada 2021 dan 2022.
Turut berlaku kemalangan awal tahun ini membabitkan empat pelajar sebuah universiti yang nyaris terkorban apabila kereta dinaiki mereka terhumban ke sungai itu.
Mengulas lanjut, Sanusi memaklumkan, buluh madu berfungsi sebagai penghadang kerana lebih kukuh dan kosnya lebih rendah berbanding pemasangan pagar penghadang.
“Kos pasang pagar penghadang sejauh satu kilometer (km) boleh cecah RM400,000. Kalau nak pasang sepanjang 15 km, maka sudah cecah RM6 juta.
“Jika tanam buluh kita tanam, mungkin lambat sikit hendak matang, tapi kalau pasang pagar penghadang pula, kalau tak ada duit, lagi lambat pasang atau mungkin tak jadi langsung,” katanya.
Sanusi yang juga AJK Pas Pusat itu berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada JKR untuk pertimbangan teknikal mengikut kesesuaian lokasi memandangkan tidak semua kawasan sesuai dipasang pagar penghadang.
“Ada kawasan tertentu yang tanahnya masih luas, sesuai tanam buluh. Tapi kalau kawasan sempit dan berisiko, mungkin kena pasang pagar penghadang juga.
“Jadi, kita kena tengok keperluan dan kemampuan juga sebelum boleh pasang,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan agar dibina tebing tanah sebagai penghadang memandangkan ia dianggap mampu mengelak kenderaan dengan kelajuan 50 km sejam daripada terhumban ke dalam sungai.
Bagaimanapun, semakan Harapandaily mendapati jika kereta terbabas pada kelajuan melebihi 80 km/j, momentum hentaman adalah terlalu tinggi untuk ditampung oleh buluh biasa.
Daya hentaman kenderaan juga jauh lebih tinggi daripada keupayaan buluh biasa untuk menghentikan kenderaan tanpa bantuan struktur tambahan seperti tiang logam, konkrit atau sistem akar dalam.
BACA JUGA Pusat Data Malaysia bakal ‘meletup’ lagi, syarikat teknologi gergasi dah mula beratur