MyCC dan MAICSA meterai MoU perkukuh tadbir urus korporat dan pematuhan akta persaingan

FOTO BERITA: Dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporat dan meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap Akta Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) semalam telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang strategik dan signifikan. (Gambar: KPDN)

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bangunan MAICSA, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun, Pengerusi MyCC dan YBhg. Dato’ Akbar bin Moidunny, Presiden MAICSA. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) bagi kedua-dua organisasi iaitu YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail (MyCC) dan Encik Justin J Anthony (MAICSA).

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama antara MyCC dan MAICSA untuk menyemai amalan tadbir urus korporat yang berintegriti dan memupuk pemahaman mendalam dalam kalangan setiausaha syarikat, pengamal profesional serta pemain industri mengenai prinsip persaingan sihat.

“Kerjasama strategik antara MyCC dan MAICSA ini adalah langkah penting ke arah memperkukuh budaya pematuhan dan tadbir urus korporat yang berintegriti. Melalui sinergi ini, kita menyemai prinsip persaingan sihat dalam setiap aspek pengurusan korporat demi membina ekosistem perniagaan yang mampan dan berdaya saing di Malaysia,” ujar Tan Sri Dato’ Sri Idrus bin Harun.

Sementara itu, Dato’ Akbar bin Moidunny menyatakan bahawa kerjasama ini adalah bertepatan dengan usaha MAICSA dalam mengangkat nilai-nilai tadbir urus yang unggul. “Sebagai badan profesional bagi para pengamal tadbir urus, MAICSA percaya bahawa tadbir urus korporat yang kukuh harus seiring dengan pematuhan terhadap undang-undang persaingan,” katanya. “Kerjasama strategik ini memperkukuh komitmen MAICSA dalam mempromosikan kecemerlangan tadbir urus dan kebertanggungjawaban korporat yang beretika.”

Majlis tersebut turut disusuli dengan sesi Diskusi Panel bertajuk “Memperkukuh Tadbir Urus Korporat Menerusi Pematuhan Persaingan: Dialog MyCC dan MAICSA” yang dikendalikan oleh Encik Justin J Anthony. Panel tersebut menampilkan tiga tokoh penting industri:
Datuk Haji Iskandar bin Ismail (KPE MyCC), Dato’ Akbar bin Moidunny (Presiden MAICSA) dan Puan Mek Yam @ Mariam Hassan (Pengurus Besar, Setiausaha Korporat Antarabangsa, PETRONAS)

Diskusi tersebut menggariskan kepentingan jalinan erat antara pengawal selia, institusi profesional dan komuniti korporat dalam membudayakan pemantapan etika, pematuhan dan integriti dalam landskap perniagaan negara. Inisiatif bersama ini membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem korporat Malaysia yang telus, adil dan mampan.