OPR turun legakan rakyat, pembangkang saja sibuk buat jelajah sendu turun Anwar
Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peritus dilihat melegakan rakyat marhaen.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasar Mas, Wan Abd Hadi Hakimi Wan Mohd Nawi secara sinis berkata, pemotongan kadar OPR berlaku ketika pembangkang sibuk mengadakan jelajah sendu turun Anwar.
“Ingatkan Anwar Ibrahim yang turun, rupanya OPR yang turun,” perlinya merujuk kepada kempen pembangkang yang mahu menurunkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, rakyat marhaen yang memiliki pinjaman dengan bank kini boleh berasa lega apabila bank-bank mula menurunkan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing selaras dengan penurunan OPR.
“Kalau OPR turun, yang mana ada bayar hutang dengan bank setiap bulan, legalah sikit. Bagi orang ada duit, tidak peduli tentang OPR.
“Bagi rakyat terbanyak yang ada hutang dengan bank, walaupun tak banyak bagi sesetengah orang itu pun memadai.
“Contoh, kalau beli rumah harga RM250,000, biasanya bayar pada bank RM1,300 lebih tapi sekarang mungkin akan bayar RM1,280.
“Jimatlah dalam RM60, RM70. Dalam setahun jimat dalam RM800 lebih,” jelasnya.
Wan Hadi berpendapat penurunan OPR dengan kos pinjaman lebih murah membolehkan rakyat dan syarikat lebih cenderung untuk meminjam dan berbelanja.
“Bagi golongan muda ketika OPR turun ini, nak buat pinjaman bank lebih mudah,” katanya.
Pemimpin muda PKR berkenaan juga menyifatkan langkah pelarasan dasar monetari itu berkaitan dengan ekonomi negara yang semakin stabil serta inflasi terkawal.
“Kalau ekonomi kita dalam keadaan teruk seperti yang digambarkan oleh lebai dan walaun Pas ini, tak mungkinlah BNM turunkan OPR
“BNM tengok ekonomi negara baik, sebab itu diturunkan OPR. Terbukti BNM yakin dengan kerajaan MADANI dari segi polisi dan ekonomi,” kata Wan Hadi lagi.
BACA JUGA Bukan Anwar turun tapi OPR yang turun