RM238 Juta Manfaat Lebih 64,000 Petani di Bawah RMK-12, Insentif dan Program Agropreneur Diperluas – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Penutupan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2025 oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Hotel KSL Esplanade, Klang, Selangor. 10hb Julai 2025 (Khamis)

KLANG, 10 Julai 2025 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini merasmikan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Tahun 2025, anjuran Jabatan Pertanian di Klang. Program selama tiga hari ini menghimpunkan lebih 500 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada pengeluar dan pengeksport tanaman makanan, usahawan Industri Asas Tani (IAT), wakil persatuan, pegawai pengembangan serta agensi berkaitan.

Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam binti Alwi menjelaskan simposium ini menjadi platform penting untuk memupuk perkongsian maklumat dan peluang pembiayaan teknologi. Antara pengisian utama ialah pembentangan kertas kerja berkaitan keterjaminan makanan, perubahan iklim dan teknologi moden, sesi padanan perniagaan bersama pasar raya utama serta pameran agensi kerajaan dan syarikat teknologi pertanian.

GhifariX

Dengan tema “Teknologi dan Inovasi, Pemacu Pertanian Lestari”, simposium ini selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) yang memacu penggunaan teknologi seperti automasi, dron, penderiaan jauh, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian atas usaha penganjuran simposium yang dianggap sangat penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan sektor tanaman negara. “Kita semua tahu, sektor agromakanan bukan sekadar soal ekonomi. Ia soal kelangsungan hidup. Soal perut rakyat dan masa depan negara,” tegas beliau.

Majlis turut meraikan kecemerlangan dalam sektor pertanian melalui penyampaian Anugerah Pengembangan Pertanian, Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian kepada petani, pegawai dan kumpulan terbaik. Sektor agromakanan telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025, menyumbang 11 peratus daripada keseluruhan KDNK. Daripada jumlah itu, subsektor tanaman, ternakan dan perikanan menyumbang RM13.8 bilion; makanan dan minuman RM9.7 bilion; manakala perkhidmatan makanan menyumbang RM22.1 bilion

Sektor agromakanan telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025, menyumbang 11 peratus daripada keseluruhan KDNK. Daripada jumlah itu, subsektor tanaman, ternakan dan perikanan menyumbang RM13.8 bilion; makanan dan minuman RM9.7 bilion; manakala perkhidmatan makanan menyumbang RM22.1 bilion. “Teknologi bukan lagi satu pilihan. Ia kini keperluan. Kita mahu pertanian moden yang efisien, hijau dan menarik minat golongan muda,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang RMK-12, Jabatan Pertanian telah melaksanakan 12 projek insentif yang memberi manfaat kepada lebih 64,000 petani, dengan jumlah peruntukan melebihi RM238 juta. Selain itu, RM22 juta turut diperuntukkan bagi program keusahawanan pertanian seperti Agropreneur Muda, Change Upgrade Project, dan High Impact Project, termasuk pembangunan agropelancongan dan penjenamaan produk.

Dari segi pelaburan, Insentif Cukai Galakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menarik lebih 260 syarikat dengan pelaburan hampir RM2 bilion.

Datuk Seri Mohamad Sabu juga menyentuh keputusan Kerajaan memperluas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas buah-buahan import, sebagai langkah memberi ruang kepada pengukuhan industri buah-buahan tempatan. “Sudah tiba masanya petani kita jadi juara di tanah sendiri,” katanya sambil merujuk langkah itu sebagai strategi melindungi industri domestik, sama seperti pendekatan negara-negara ekonomi besar.

Beliau turut menekankan keperluan memperkemas undang-undang berkaitan benih, bagi memastikan hanya benih berkualiti, tulen dan dapat dikesan dijual di pasaran, sekaligus melindungi petani daripada penipuan.

Datuk Seri Mohamad Sabu memuji inisiatif Jabatan Pertanian membangunkan modul e-AgroLaporan yang kini diintegrasikan bersama Sistem GeoTanaman. “Dengan pelaporan masa nyata, kita boleh bertindak pantas terhadap ancaman seperti penyakit tanaman dan bencana. Ini adalah langkah penting ke arah pendigitalan pertanian,” jelas beliau.

Beliau menyeru semua petani di seluruh negara untuk segera mendaftar dalam sistem GeoTanaman dan menggunakan bantuan lebih 500 pegawai pengembangan yang sedia membantu di peringkat daerah.

Sebagai penutup, beliau mengajak semua hadirin untuk sama-sama hadir memeriahkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. Teruskan usaha dan semangat. Saya yakin tahun depan, tuan-tuan pula akan naik ke pentas menerima anugerah,” katanya sebelum merasmikan penutupan secara rasmi