Sejarah tercipta, Malaysia umum China bakal tandatangan perjanjian bebas nuklear ASEAN
Sejarah tercipta apabila China bersetuju memeterai Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), menjadikannya negara kuasa nuklear pertama yang komited untuk tidak membawa masuk atau memindahkan senjata nuklear ke rantau ini.
Langkah bersejarah ini diumumkan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas mesyuarat bersama rakan sejawat ASEAN dan rakan dialog di Kuala Lumpur, hari ini.
Lebih menarik, China menyatakan komitmen bahawa perjanjian akan dibuat tanpa sebarang syarat.
Jika berjaya, ini langkah besar ASEAN untuk pastikan rantau ini kekal aman dan bebas senjata pemusnah besar-besaran.
Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara, atau SEANWFZ, sudah berkuat kuasa sejak tahun 1997 dan ia mengehadkan penggunaan kuasa nuklear oleh negara-negara anggota untuk tujuan damai seperti penjanaan tenaga.
Matlamat ASEAN adalah untuk memastikan kuasa-kuasa nuklear dunia, termasuk China, Amerika Syarikat, Britain, Rusia dan Perancis memeterai perjanjian itu dan memberi komitmen untuk tidak menggunakan atau memindahkan senjata nuklear ke negara-negaraASEAN, termasuk ke zon-zon ekonomi ekslusif dan pelantar benua negara-negara yang terlibat.
“China memberi komitmen untuk memastikan mereka akan memeterai perjanjian itu tanpa bersyarat,” kata Mohamad Hasan kepada wartawan di luar mesyuarat bersama rakan-rakan sejawatan dari ASEAN dan negara-negara rakan kongsi yang lain.
Kementerian Luar China menyatakan negara itu sedang berhubungan dengan negara-negara ASEAN berhubung pemeteraian protokol itu.
“China sentiasa menyokong penubuhan zon bebas senjata nuklear di Asia Tenggara, dan berulang kali menyatakan kesediaannya untuk menjadi negara pertama yang memeterai protokol perjanjian tersebut,” kata jurucakap kementerian China Mao Ning kepada wartawan di satu taklimat media.
Menteri Luar China Wang Yi kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat bersama rakan-rakan sejawatannya dari ASEAN.
BACA JUGA Pusat Data Malaysia bakal meletup lagi, syarikat teknologi gergasi dah mula beratur