Tak betul dakwaan ‘jalan-jalan’, lawatan kerja PM lonjak pelaburan asing
Tanggapan bahawa lawatan Perdana Menteri ke luar negara tidak membawa hasil disifatkan sebagai tidak matang, menurut Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mazlan Ali.
Menurut beliau, Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam hubungan antarabangsa negara yang bertindak bukan sahaja sebagai pemerintah tetapi ketua diplomatik.
Seperti mana beberapa Perdana Menteri sebelum ini, beliau berpandangan lawatan luar negara semua Perdana Menteri dilakukan dengan misi-misi tertentu.
“Menyatakan bahawa PM sekadar berjalan-jalan itu sangatlah lucu kerana kita tahu bahawa Anwar sebagaimana PM sebelum ini, mereka akan lakukan lawatan ke luar negara dengan misi-misi tertentu.
“Dan kita lihat track record Datuk Seri Anwar selepas dua tahun setengah jadi PM, beliau membawa Malaysia ke mercu antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Menurut Dr Mazlan, peningkatan nilai pelaburan asing yang masuk ke Malaysia sejak kebelakangan ini, termasuk nilai dagangan yang sudah mencecah angka trilion, adalah bukti jelas kejayaan pendekatan diplomatik yang diambil kerajaan.
Katanya, Malaysia bukan hanya dihormati di peringkat antarabangsa, malah mendapat sokongan daripada negara-negara luar dari sudut perdagangan.
“Misalnya pertambahan nilai dalam pelaburan asing yang masuk ke negara ini. Meningkat ketara. Kita lihat juga nilai dagangan antara Malaysia sekarang ini adalah yang terbesar jika dibandingkan dengan sebelum ini.
“Hari ini nilai dagangan kita hampir mencapai RM3 trilion sekarang. Satu rekod yang begitu baik sekali,” ujarnya.
Mengulas lawatan terkini Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil, beliau menyifatkannya sebagai amat meyakinkan apabila beberapa memorandum kerjasama penting berjaya dimeterai.
“Hakikatnya Anwar sebagai PM setelah datang melawat ke tiga negara ini, telah meningkatkan kedudukan negara kita,” katanya lagi.