Berita baik untuk petugas kesihatan, lebih 80,000 petugas terkesan sebelum ini
Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengumumkan pengecualian waktu bekerja syif 45 jam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk petugas kesihatan.
“Kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu,” kata JPA dalam satu kenyataan.
“Pengecualian ini melibatkan 82,637 petugas kesihatan yang merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan danpembantu perawatan kesihatan.”
Senator Dr A Lingeshwaran yang seringkali memperjuangkan isu kesihatan menyambut baik keputusan ini dan menyatakan bahawa keputusan ini “benar-benar melegakan”.
“Ini adalah satu pengiktirafan yang besar terhadap pengorbanan, kepayahan dan kecekalan para petugas kesihatan kita yang bertugas siang dan malam demi menyelamatkan nyawa tanpa mengira masa.
“Langkah menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu untuk lima skim perkhidmatan kritikal KKM ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mental, fizikal dan emosi para frontliners.
“Ini bukan sekadar soal angka atau dasar, tetapi tentang nilai kemanusiaan dan ihsan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.