Lantik PM Interim: Cadangan Hamzah pelik dan aneh
Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun), Dr Zulqarnain Lukman menyifatkan cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri Interim sebagai pelik dan aneh.
“Memang otak orang politik ini selalunya pelik dan aneh. Orang politik ini kalau jadi loyar burok memang sangat sesuai.
“Adakah wujud istilah Perdana Menteri Interim yang dilantik jika seorang Perdana Menteri bercuti?
“Istilah Perdana Menteri Interim ini muncul semasa Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad letak jawatan dan sementara Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Pada ketika itu, telah YDPA telah lantik PM7 sebagai Perdana Menteri Interim,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Walaupun keadaan itu agak kontroversi, jelasnya, ia masih lagi boleh dihujahkan peletakan jawatan PM7 tersebut belum berkuatkuasa dan PM7 telah menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Interim atas sumpahnya sebelum itu.
Semalam, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti kononnya bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim baharu.
Menurut Ahli Parlimen Larut berkenaan, dalam masa sama langkah itu dapat menepis persepsi umum yang mengaitkan beliau terlibat dalam menentukan kumpulan hakim berkenaan.
Dalam tempoh cuti Anwar, kata Hamzah, seorang Perdana Menteri Interim boleh dilantik bagi menjalankan tanggungjawab menguruskan negara, khususnya di bawah Perkara 122B.
Mengulas lanjut, Dr Zulqarnain berkata, cadangan supaya lantik Perdana Menteri Interim semasa PMX bercuti itu adalah tidak sama dan tidak munasabah.
“Jika PMX bercuti, bermakna dia masih lagi Perdana Menteri.
“Jika PMX masih lagi Perdana Menteri, bagaimana mungkin boleh lantik Perdana Menteri Interim kerana tidak boleh ada dua Perdana Menteri dalam satu masa,” hujahnya.
Berhubung kenyataan Hamzah bahawa tugas Perdana Menteri Interim hanya untuk menjalankan tugas di bawah Perkara 122B semata-mata, Dr Zulqarnain mempersoalkan apa yang berlaku kepada Perdana Menteri Interim selepas itu.
“Satu hal lagi, dikatakan PMX mempunyai konflik kerana ada kes mahkamah maka PMX tidak boleh nasihat YDPA.
“Pernyataan ini kurang tepat kerana ada faktor lain lagi sebelum nasihat diberikan iaitu faktor Majlis Raja-Raja.
“Maksudnya, nasihat PM hanya boleh dibuat selepas berunding dengan Raja-Raja. Jadi, di manakah yang dikatakan konflik itu?” bidasnya.
Lagipun, kata Dr Zulqarnain, jika benar ada konflik maka pihak yang melawan PMX dalam kes itu boleh memohon untuk hakim itu recuse.
“Jadi, kesimpulannya kenyataan media Ketua Pembangkang ini nampaknya dibuat tanpa penelitian sewajarnya.
“Elok sekiranya kenyataan ini dirujuk terlebih dahulu kepada ahli Perlembagaan supaya terjamin ketepatan fakta,” tegas Dr Zulqarnain lagi.
BACA JUGA Kenyataan Hamzah dikutuk teruk oleh netizen, ini je ke ketua pembangkang