UMNO bersyukur wujud Titah Adendum, mohon titah tahanan rumah Najib dilaksana

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu bersyukur atas pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara, yang memperakui arahan penahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, UMNO menjunjung kasih dan merafak sembah memohon ihsan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Seri Paduka Baginda agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan harapan agar dengan limpah kurnia Seri Paduka Baginda, Najib dapat menikmati keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu.

“Daulat Tuanku,” kata Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menutup kenyataan itu.

Najib, 72, pada masa ini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Suami Datin Seri Rosmah Mansor itu kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BACA JUGA Lantik PM Interim: Cadangan Hamzah pelik dan aneh