Statistik denggi Malaysia menurun drastik, KKM tegas rakyat jangan leka – Dr. Dzulkefly

FOTO BERITA: Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Hari Denggi ASEAN 2025 dihadiri oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Turut hadir Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. 12hb Julai 2025 (Sabtu)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menggembleng kerjasama strategik bersama warga Perumahan Awam Seri Kota, Bandar Tun Razak, pasukan sukarelawan Communication for Behavioural Impact (COMBI) serta pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dalam menjayakan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, bersempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025.

Majlis yang berlangsung meriah itu telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, yang menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu penduduk setempat serta para sukarelawan COMBI yang aktif menyumbang kepada pemerkasaan kesedaran komuniti dalam usaha mengekang penularan wabak denggi.

“Alhamdulillah, kita dapat berkumpul bagi satu tujuan murni – memastikan Malaysia bebas Aedes, bebas denggi. Tahun ini, sambutan Hari Denggi ASEAN membawa tema ‘ASEAN Bersatu: Sifar Kematian Denggi, Membina Masa Depan Bersama’. Ia bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan aksi,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Menurut data KKM, Malaysia mencatat penurunan ketara kes denggi bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Julai 2025 dengan 32,299 kes berbanding 78,068 kes dalam tempoh sama tahun lalu – penurunan sebanyak 58.6%. Kematian juga menunjukkan penurunan drastik daripada 65 kepada 21 kes, iaitu pengurangan sebanyak 67.7%.

Namun, Menteri Kesihatan mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan penurunan ini, memandangkan trend global denggi menunjukkan peningkatan membimbangkan. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan peningkatan kes global daripada 505,430 kes (2000) kepada 14.3 juta kes (2024) — lonjakan lebih 28 kali ganda, manakala kematian meningkat hampir 10 kali ganda kepada 9,508 kes pada 2024.

Menteri Kesihatan turut menegaskan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan ‘whole-of-society’ adalah teras kejayaan membendung denggi. Sehingga Mei 2025, COMBI berjaya melatih 32,949 sukarelawan aktif di 2,633 lokaliti seluruh negara — satu pencapaian yang diiktiraf sebagai tulang belakang usaha pencegahan komuniti.

“Sokongan dan mobilisasi masyarakat amat penting. Sukarelawan COMBI adalah wira tidak didendang yang telah membawa perubahan besar dalam masyarakat,” katanya.

Orang ramai diseru untuk terus komited melalui tiga langkah utama, iaitu luangkan 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnah tempat pembiakan Aedes di dalam dan luar rumah, amalkan ‘One Hour Malaysia Clean Up’ sebagai aktiviti bulanan setiap Sabtu minggu keempat dan dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam, bagi mencegah komplikasi serius seperti Denggi Berdarah.

Komitmen berterusan ke arah sifar kematian denggi dengan nilai teras MADANI – Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan, KKM optimis matlamat sifar kematian akibat denggi dapat dicapai melalui usaha kolektif seluruh masyarakat.

“Di sebalik setiap statistik kematian ada keluarga yang kehilangan. Kita mesti terus berjuang, demi satu matlamat bersama – Tiada Aedes, Tiada Denggi,” tegas Menteri sebelum merasmikan program secara rasmi.

Program Gotong-Royong Mega ini bukan sahaja menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia, malah mencerminkan kesungguhan negara dalam mendepani cabaran kesihatan awam dengan pendekatan menyeluruh, proaktif dan berteraskan nilai kemanusiaan.








