Anwar kekal PM walau 9 Ahli Parlimen PKR keluar parti

Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal Perdana Menteri walaupun sembilan Ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar pada masa ini mempunyai 153 kerusi Parlimen.

Beliau menjelaskan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) perlu memenangi kerusi Parlimen melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 112 kerusi.

“Jika sembilan Ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas, kerajaan PH tetap utuh dan jawatan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak terjejas.

“Tetapi kita yakin Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta tujuh Ahli Parlimen PKR tidak akan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas,” katanya kepada media pada program Santai Komuniti Madani, di Kampung Batu Rakit, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad berpendapat Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berjiwa besar dan mengutamakan kestabilan negara.

Menurutnya, Rafizi dan Nik Nazmi tidak akan keluar parti kerana mereka sayangkan kestabilan serta tidak mahu negara kerugian berikutan keadaan politik tidak stabil.

Terdahulu, 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu.

Gesaan itu selepas mereka pada 7 Julai lalu mengadakan sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pelantikan badan kehakiman.

BACA JUGA Kes dadah babit usahawan salun mungkin ada rangkaian sindiket antarabangsa