Kampung Kaiduan antara 43 lokasi terpilih terima dana projek KAM RM107 juta seluruh negara – KPDN

FOTO BERITA: Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Kg. Kaiduan, Papar, Sabah. 12hb Julai 2025 Sabtu. (Gambar: UKK KPDN)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah menganjurkan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) bertempat di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Papar. Program ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara holistik dan inklusif.

Program Kampung Angkat MADANI, yang dimulakan pada tahun 2024, merupakan satu inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan dengan objektif utama untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. Melangkaui aspek fizikal semata-mata, program ini turut menekankan pengisian bukan fizikal seperti sesi libat urus komuniti dan penyediaan perkhidmatan kerajaan secara bergerak.

Bagi pelaksanaan tahun 2024, sebanyak RM107 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi menjayakan projek KAM di 43 kampung terpilih di seluruh negara. Setiap kementerian menerima peruntukan RM2.5 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di kampung angkat masing-masing.

Mukim Kaiduan, Papar telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI KPDN berdasarkan beberapa kriteria penting, termasuk tahap liputan kemudahan asas yang masih di bawah 50 peratus. Pelaksanaan rasmi program di mukim ini bermula pada 24 Mei 2024.

Sehingga kini, sebanyak 16 projek pembangunan fizikal telah berjaya disiapkan dan mula dimanfaatkan oleh penduduk setempat. Antara projek utama yang telah dilaksanakan termasuk, baik pulih jalan culvert, pembinaan jambatan baharu & naik taraf jalan di Kampung Kaiduan, pembinaan jambatan Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan, naik taraf jalan Kampung Bisuang, pembinaan jambatan gantung ke SK Kaiduan, pembinaan surau dan dewan serbaguna di SK Kaiduan, naik taraf gereja, balai raya dan gelanggang sepak takraw di Kampung Bolotikon, membaik pulih jambatan gantung dan laluan pejalan kaki di Kampung Moliyoun dan pemasangan lampu solar di Kampung Kaiduan, Bisuang dan Bolotikon

Projek-projek ini dijangka mampu meningkatkan akses perhubungan dan pengangkutan yang selamat, memperbaiki infrastruktur ibadah, serta merancakkan aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat. Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama strategik antara KPDN, Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), dan Pejabat Daerah Papar.

KPDN berharap agar segala kemudahan yang telah disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat dan menyeru agar penyelenggaraan berterusan dilakukan agar inisiatif ini terus menjadi citra pembangunan lestari yang berkekalan.

“