Penyebaran dokumen JAC disiasat
Pendedahan dan penyebaran disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar di media sosial sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan media sosial.

“Semua saksi kompeten akan dipanggil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut,” ujarnya.
Semalam, dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kali ke-5 tahun 2025 tersebar di media sosial.
Susulan itu, pembangkang dilihat mengambil kesempatan dengan antara lain mendesak Perdana Menteri untuk segera memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.
Antara kandungan yang mengejutkan, kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari ialah dakwaan bahawa Perdana Menteri telah campur tangan secara langsung dalam proses pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi dengan memintas prosedur sah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Pendedahan bahawa nama calon telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui mesyuarat JAC, serta pengakuan bekas Peguam Negara bahawa beliau dan Perdana Menteri menandatangani nota cadangan bersama secara tidak sah, merupakan satu pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang,” kata Ahmad Fadhli.
BACA JUGA Selepas berbasikal di Tasik Putrajaya, Tun M kini berehat di IJN