‘Penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia’, ramai teruja gimik PM Anwar

Orang ramai malam ini dilihat teruja dengan gimik Perdana Menteri yang mengundang teka-teki di laman Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hantaran dengan latar warna biru muda dan biru pekat itu tertera ungkapan “Akan Datang” dan “Suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia”.

Poster lengkap berlogokan Malaysia Madani berserta bayangan seorang individu itu turut memaparkan frasa, “Bersama Malaysiaku”.

Tanda tanya yang ditinggalkan Perdana Menteri itu, setakat dua jam dikongsi telah menarik perhatian rakyat dengan hampir 14,000 pelayar Facebook memberikan reaksi pelbagai emoji.

Dalam tempoh sama, kira-kira 5,000 pengguna meninggalkan komentar serta lebih 1,000 perkongsian.

Antaranya, Mohd Nor Firdaus yang berkata, “Tak ramai yang sedar, banyak bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah), Rahmah, Inisiatif Belia, semua itu hasil usaha Madani.”

‘Teaser’ dengan kapsyen hanya bertulis, “Nantikan” itu dijangka merupakan pengumuman berkaitan bantuan kewangan sama ada dalam bentuk bantuan tunai tambahan atau insentif rakyat.

Kemungkinan lain adalah penghargaan untuk penjawat awam atau pengumuman berkaitan cukai, subsidi, atau sebarang bentuk inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada rakyat.

Selain itu, Perdana Menteri mungkin akan meluncurkan program baharu yang berkaitan dengan kelangsungan ekonomi rakyat.

BACA JUGA Mat Sabu rasmi benih padi baharu, matang 99 hari, tahan penyakit