Siasat kesahihan minit mesyuarat JAC, dakwaan salah laku hakim – Ramkarpal
Kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) mesti disiasat secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut bagaimana ia boleh dibocorkan, tetapi dari sudut kesahihan kandungan minit tersebut.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bahawa siasatan terhadap perkara ini telah dimulakan.
Namun beliau menyatakan rasa kesal kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung isu utama, iaitu sama ada dakwaan campur tangan kehakiman dalam minit bocor tersebut akan turut disiasat secara menyeluruh.
“Kenyataan Khalid seolah-olah mengesahkan bahawa minit yang bocor itu adalah sahih, yang menjadikan keperluan untuk menyiasat di bawah OSA wajar.
“…(ia) sekaligus menambah kepentingan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang terkandung dalam minit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP berkata, dakwaan salah laku adalah sangat serius kerana ia melibatkan asas integriti sebuah institusi utama dalam sistem demokrasi, iaitu badan kehakiman, dan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau tidak.
Dalam keadaan ini, kerajaan tidak boleh sambil lewa dalam usahanya untuk melindungi integriti badan kehakiman, dan segala usaha mesti dilakukan bagi memastikan siasatan terhadap minit yang bocor itu dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Beliau berkata, memandangkan dakwaan itu mengaitkan salah seorang hakim kanan, maka hakim tersebut tidak sepatutnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri ke jawatan tertinggi dalam kehakiman.
“Dengan segala hormat, hakim tersebut tidak sepatutnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri dalam nasihat beliau bagi mana-mana daripada empat jawatan tertinggi, selagi dan sehingga dakwaan yang mengaitkan beliau dalam minit bocor tersebut disiasat dan diselesaikan sepenuhnya.
“Ini kerana sekiranya hakim tersebut didapati bersalah atas sebarang salah laku hasil siasatan itu, maka integritinya akan tercemar dengan serius,” ujarnya.
BACA JUGA Dua bulan selepas subsidi dikurangkan, bekalan telur masih stabil, cukup