AMANAH rai satu dekad perjuangan, himpunan besar 4 Oktober di Stadium Titiwangsa

AMANAH bakal menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya menerusi satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober nanti di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Perhimpunan bertemakan “Satu Dekad, Satu Misi, Satu Hati” itu dijangka menghimpunkan ahli serta penyokong parti, sebagai simbol kelangsungan perjuangan parti sejak ia ditubuhkan pada 31 Ogos 2015 dan dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2015.

Dalam catatan dikongsikan di media sosial rasmi parti, AMANAH mengimbas kembali detik-detik awal penubuhannya apabila sekumpulan tokoh politik tampil memperkenalkan parti itu kepada umum selepas bergerak sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB).

“Pada pagi itu, di sebuah dewan kecil, beberapa insan berjiwa besar duduk di hadapan mikrofon menghadap para wartawan, dengan hati yang bulat.

“Mereka sedar, perjuangan ini tidak boleh disimpan dalam kelompok kecil. Desakan dari bawah mahukan gerakan ini dibawa kepada rakyat.

“Dengan tekad yang jitu, mereka yang sebelumnya bergerak sebagai GHB mengumumkan akan membuka satu lembaran politik baharu iaitu Parti AMANAH Negara.

“Bermulalah sebuah obor kecil dinyalakan. Obor untuk mereka yang mendamba politik Islam yang rahmah, sederhana dan membela marhaen,” menurut tulisan itu.

Perjalanan sedekad AMANAH tidak mudah. Parti itu mengharungi pelbagai cabaran termasuk persepsi terhadap saiz dan kekuatannya, namun tetap teguh sebagai sebahagian daripada komponen utama Pakatan Harapan (PH).

AMANAH yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Presiden, dikenali sebagai parti Islam progresif yang memperjuangkan nilai rahmah, keterbukaan dan keadilan sosial dalam kerangka demokrasi.

“Sepuluh tahun ini adalah amanah, dan amanah itu tidak boleh mati di tangan kita,” coretnya lagi.

AMANAH menyeru semua ahli dan pendukungnya untuk hadir dan menzahirkan solidariti sempena detik bersejarah tersebut.

BACA JUGA PKR Putrajaya buat laporan polis terhadap Harakah