Cuba ‘tunggang’ perarakan peguam, Pemuda Pas dinasihat konvoi motor saja

Pemuda Pas dihujani cemuhan selepas dilihat cuba ‘menunggang’ perarakan peguam di Putrajaya yang berlangsung pada petang semalam.

Menerusi Facebook rasmi sayap parti pembangkang tersebut, program itu dikatakannya sebagai kali pertama sejak kemerdekaan negara yang melibatkan penyertaan ribuan peguam.

“Sejak merdeka, semalam satu-satunya himpunan yang dihadiri ribuan peguam membantah tindakan kerajaan.

“Ia rentetan dakwaan campur tangan Perdana Menteri terhadap institusi kehakiman,” menurut Pemuda Pas.

Mengulas hantaran Pemuda Pas di Facebook itu, pemerhati politik Najib Bakar secara sinis menyarankan mereka mengadakan konvoi bermotosikal seperti yang kerap dilakukan.

“Seriuslah wei, research la. Tu page rasmi Pemuda (Pas) kot. Google ada, ChatGPT ada. Sila jangan hina kecerdikan kami, boleh tak?

“Dah… dah, hampa pi konvoi motor ja la,” tempelaknya.

Semakan mendapati bukan kali pertama ribuan peguam berhimpun menyuarakan bantahan kepada kerajaan.

Antaranya, pada 26 September 2007, Perarakan Hitam (Walk for Justice) yang disertai 2,000 peguam menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat rakaman video “VK Lingam”.

Pada 29 November 2011 pula, perarakan peguam dari Padang Merbok ke Parlimen berlangsung bertujuan membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang disifatkan mengekang hak berhimpun.

BACA JUGA Lebih 830 rakyat Palestin jadi mangsa perangkap maut GHF