Lebih 830 rakyat Palestin jadi mangsa perangkap maut GHF

Lebih 830 rakyat Palestin di Gaza terbunuh ketika menunggu bantuan makanan di pusat agihan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini menegaskan tapak bantuan yang dikendalikan oleh GHF sebagai “perangkap maut.”

Menurutnya, tentera rejim Zionis Israel dan pihak dari Amerika Syarikat (AS) yang mengurus tapak agihan bantuan itu sedang “membunuh orang awam yang kelaparan secara sistematik”.

Dalam masa sama, Al Jazeera memetik sumber di hospital-hospital Gaza, melaporkan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel di seluruh wilayah terkepung itu sejak Subuh tadi.

Lapor Hind Khoudary dari Deir el-Balah, Gaza pula, rakyat Palestin dikejutkan pagi tadi dengan letupan tanpa henti, tembakan meriam dan serangan udara, terutamanya sekitar Shujayea dan Jabalia.

“Kawasan-kawasan ini merupakan lokasi yang baru sahaja menerima ancaman pemindahan daripada tentera Israel, yang mengarahkan penduduk Palestin di timur Bandar Gaza berpindah ke bahagian barat — kawasan yang kini menampung majoriti rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal.

“Israel turut menyerang sebuah rumah di kem pelarian Shati, membunuh sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin daripada keluarga yang sama dan mencederakan puluhan yang lain.

“Kawasan ini merupakan antara yang paling padat kerana ia adalah kem pelarian, dan ramai penduduk dari bahagian utara Gaza kini mencari perlindungan serta mendirikan khemah di sana.

“Namun, walaupun arahan pemindahan menggesa mereka berpindah ke bahagian barat Bandar Gaza, kawasan itu juga turut menjadi sasaran serangan,” tulis Hind Khoudary.

Jelasnya, penduduk Gaza yang sedang bergelut untuk mendapatkan makanan tidak mempunyai pilihan apabila diancam dengan pemindahan yang berterusan.

“Ke mana sahaja mereka pergi, mereka tetap diserang,” lapor beliau lagi.

Sementara itu, platform X Quds News Network kelmarin berkongsikan detik-detik penderitaan penduduk Gaza yang diusir dari khemah pelarian di Mawasi Khan Yunis.

Dilaporkan, kereta kebal penjajah Israel mara berhampiran khemah pelarian Palestin itu dengan menakut-nakutkan orang awam melalui tembakan dan pengeboman secara melulu bagi tujuan memaksa penduduk Gaza melarikan diri dari tempat perlindungan.

BACA JUGA Pelantikan hakim: Nama terpalit kontroversi tidak dipersembah kepada Majlis Raja-Raja