Pelantikan hakim: Nama terpalit kontroversi tidak dipersembah kepada Majlis Raja-Raja
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan keputusan pelantikan hakim kepada Majlis Raja-Raja yang akan bersidang esok.
Beliau berharap keputusan yang akan diumumkan kelak akan menepis semua persepsi negatif berkenaan kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara
“Pagi tadi saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan.
“Esok mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.
“Insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa kerajaan ini memang benar-benar komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus di Putrajaya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu memberi jaminan bahawa nama yang terpalit dengan sebarang kes atau kontroversi tidak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja.
Beliau mengatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar tahu apa yang berlaku.
BACA JUGA PM tekankan ketelusan pelantikan Ketua Hakim Negara ketika pertemuan tertutup MP PH