PM tekankan ketelusan pelantikan Ketua Hakim Negara ketika pertemuan tertutup MP PH
Dalam pertemuan tertutup bersama barisan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) semalam, Perdana Menteri telah memberi penjelasan mengenai kekosongan jawatan dalam badan kehakiman yang menjadi isu hangat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan gambaran menyeluruh kepada Ahli Parlimen PH agar mereka faham proses yang sedang berlangsung dan tidak keliru dengan spekulasi luar.
Anwar memberi jaminan bahawa proses pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara akan dibuat dalam masa terdekat, secara tertib selepas mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja serta prinsip keluhuran Perlembagaan.
Perkara itu diberitahu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut serta dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam.
Loke berkata, sesi taklimat itu turut merangkumi penjelasan berkenaan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kaedah pelantikan, pemecatan serta syarat perkhidmatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
“Perdana Menteri menjelaskan bahawa satu keputusan akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang bersidang esok,” katanya.
“Apa yang penting sekarang ialah kita menghormati proses, mempercayai institusi, dan memastikan segala keputusan dibuat dengan telus dan bertanggungjawab,” tambahnya lagi.
Anwar sebelum ini turut mengadakan pertemuan berasingan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) minggu lalu bagi memperkukuh kerjasama dan menyampaikan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.
BACA JUGA Tak perlu lagi sirlion steak atau ikan kod di majlis rasmi kerajaan – Mat Sabu