Tak perlu lagi sirlion steak atau ikan kod di majlis rasmi kerajaan – Mat Sabu

Semua jabatan kerajaan digalakkan untuk menghidangkan makanan tempatan sebagai langkah menyokong hasil tani domestik susulan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas barangan import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannya baru-baru ini berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi ruang dan nafas kepada hasil tempatan.

Beliau mengambil contoh beberapa negara yang pernah dikunjunginya ketika lawatan kerja, yang hanya menyediakan makanan tempatan dari negara mereka sendiri.

“Kita nak petani kita bangkit dan jadi juara di tanah sendiri. Saya biasa jadi menteri pertahanan. Menteri pertahanan ini dia pergi mana-mana ada protokol tertinggi perlu dipatuhi.

“Terutama sekali jika ke Thailand, Jepun dan sebagainya. Makan malam atau makan tengahari mereka gunakan hasil tempatan,” katanya.

Beliau sempat berseloroh mengatakan program rasmi kerajaan tidak pernah lari dari makanan-makanan import contohnya sirloin steak dan ikan kod.

“Kita pula hidangkan yang besar-besar seperti ikan kod import Kemudian sirloin steak kononnya dari New Zealand.

“Sebab itu di peringkat rasmi kerajaan, kita minta hidang kalau boleh dari bahan-bahan tempatan. Hat yang nak jamuan private itu ikutlah nak makan daging wagyu ke,” ujarnya lagi.

BACA JUGA MP Pas pro-Trump ini kena ‘sembur’ selepas perlekeh pengumuman PM Anwar