BASE Jump Genting Highlands 2025 Sasar Jadi Acara Ekstrem Terbesar Asia

FOTO BERITA: Sidang Media Genting Highlands International BASE Jump 2025 oleh Kapten (B) A.Aziz Ahmad, Presiden Kelab Ababil Base Jump, Frank See, Company/Creative Director Hoverland Sdn Bhd dan Tee Yih Fung, Executive Vice President, Ion Majestic Hospitality Sdn Bhd di Menara NCT, No.2, Jalan BP 4/9, Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor. 16hb Julai 2025 (Rabu)

Acara sukan ekstrem bertaraf dunia, Genting Highlands International BASE Jump 2025, secara rasmi diumumkan kepada media dalam satu sidang khas yang berlangsung di Menara NCT, Bandar Bukit Puchong hari ini. Sidang media tersebut menampilkan Kapten (B) A. Aziz Ahmad, Presiden Kelab Ababil Base Jump, Frank See, Pengarah Syarikat/ Kreatif Hoverland Sdn Bhd, dan Tee Yih Fung, Naib Presiden Eksekutif Ion Majestic Hospitality Sdn Bhd.

Acara penuh adrenalin itu bakal menghimpunkan lebih 50 penerjun profesional dari seluruh dunia dan akan berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober 2025 di Wyndham Grand Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, pada ketinggian luar biasa 6,106 kaki dari aras laut.

Menurut Kapten (B) A. Aziz Ahmad, penganjuran kali ini membawa aspirasi baharu dalam dunia BASE jump di Asia. “Kami menjangkakan penyertaan penerjun profesional dari lebih 10 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Brazil dan Rusia. Acara ini bukan sahaja mendebarkan tetapi mampu menjadi medium promosi Malaysia sebagai hab sukan ekstrem antarabangsa,” jelas beliau.

Tambahnya, Kelab Ababil Base Jump yang berpengalaman menganjurkan pelbagai acara antarabangsa termasuk KL Tower Jump, Putrajaya BASE Jump dan Wisma Sanyan Jump, komited untuk memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan mutlak. “Latihan percubaan telah pun dijalankan pada 5 dan 6 Julai lalu, melibatkan penerjun terlatih serta pemantauan rapi daripada agensi keselamatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Frank See, Pengarah Kreatif Hoverland Sdn Bhd, menekankan bahawa penganjuran kali ini membawa tema “Naturally Fearless”, selari dengan semangat penerjun yang berani mengatasi cabaran alam. “Hoverland yang kini memegang rekod Malaysia Book of Records sebagai dek pemerhatian tertinggi di negara ini akan menjadi latar belakang ikonik bagi acara ini. Kami mahu cipta pengalaman luar biasa – bukan sahaja untuk peserta tetapi juga pengunjung tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.

Tee Yih Fung pula mewakili pihak pemilik dan pengendali lokasi penganjuran menyatakan bahawa acara ini seiring dengan komitmen Ion Majestic Hospitality untuk menjadikan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan pelbagai dimensi. “Selepas kejayaan NCT 6000 ft Run-Up tahun lalu, penganjuran BASE Jump ini merupakan kesinambungan usaha kami mempelbagaikan penawaran pelancongan dan gaya hidup sihat di altitud tinggi,” katanya.

Pihak penganjur turut mengesahkan penyertaan dan sokongan rasmi daripada agensi keselamatan negara termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan acara berjalan lancar dengan standard keselamatan tertinggi.

Genting Highlands International BASE Jump 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung dan pelancong, serta menjadi salah satu acara unggulan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. Dengan keberanian sebagai simbol utama, acara ini dijangka akan mengangkat nama Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam arena sukan ekstrem global.